Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Syed Jaafar Albar berkata, tindakan pemandu bas kilang mengadakan mogok di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar di sini pagi Jumaat berikutan perlaksanaan kadar tol baharu, dianggap tindakan yang tidak munasabah dan hanya menyusahkan rakyat.
Tan Sri Syed Hamid menambah, operator bas kilang perlu berbincang dengan syarikat yang menggunakan perkhidmatan mereka sekiranya didapati kos meningkat. Beliau berkata kos kenaikan bukan ditentukan oleh kerajaan semata-mata dan seharusnya pihak pengusaha perlu berbincang dengan syarikat berkenaan memandangkan mereka di bawah kontrak syarikat itu.
Mogok yang bermula 4 pagi itu melibatkan 200 pemandu bas kilang yang enggan memasuki Singapura dan menyebabkan laluan trafik sesak di CIQ selain ribuan pekerja terpaksa berjalan kaki menyeberang Tambak Johor sebelum menaiki bas penumpang di Woodlands untuk ke tempat kerja masing-masing.
Kesesakan itu menyebabkan beberapa bas perkhidmatan awam Singapura ke Johor Baharu ditangguhkan perkhidmatan pada 8.05 pagi dan hanya menyambung perkhidmatan pada 10.11 pagi. Adalah dipercayai protes pengusaha bas kilang tersebut dipercayai berpunca tidak puas hati dengan kenaikan kadar tol.
Kadar tol baharu arah masuk Malaysia, kenderaan kelas-kelas tersebut ialah masing-masing RM9.70 (kereta); RM14.70; RM19.70, RM4.80 (teksi) dan RM7.80 (bas) manakala kadar tol arah keluar pula RM6.80 (kereta); RM10.20; RM13.60; RM3.40 (teksi) dan RM5.50 (bas). Singapura juga menaikkan kadar bayaran Permit Masuk Kenderaan (VEP) bagi kenderaan berdaftar di luar negara yang mahu memasuki Singapura dinaikkan daripada S$20 (RM51.44) kepada S$35 (RM90) sehari mulai Jumaat. Pada masa sama, bayaran Permit Kenderaan Barangan (GVP) berdaftar di negara luar pula dinaikkan daripada S$10 (RM25.72) kepada S$40 atau RM102.88.
Tan Sri Syed Hamid berkata berikutan tindakan pengusaha bas kilang itu, SPAD akan menyiasat sama ada pemandu-pemandu bas kilang ini melanggar peraturan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat. Menurut beliau lagi, pemandu-pemandu bas adalah tertakluk kepada undang-undang iaitu membawa penumpang dan tidak boleh menyusahkan orang ramai atau mendatangkan kesulitan kepada mereka.