Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) masih dalam kajian bagi menetapkan kadar baharu tambang bas ekspres dan sekolah yang bakal diumumkan tidak lama lagi. Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Syed Jaafar Albar berkata pihaknya memerlukan sedikit masa lagi bagi menetapkan perkara berkenaan kerana tidak mahu keputusan yang dibuat kelak, mencetuskan rasa tidak puas hati kedua-dua pihak.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Pelancaran Empat Bas Baru Konsortium E-Mutiara Berhad di Hentian Gua Musang, Tanah Puteh, di sini, hari ini. Syed Hamid mengulas cadangan Gabungan Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia untuk menaikkan tambang bas sebanyak 30 peratus di seluruh negara, sebelum bermulanya sesi persekolahan awal Januari ini.
Sebagai pengguna, kita tidak mempunyai sebarang masalah dengan keputusan suruhanjaya untuk menaikkan tambang bas ekspres dan bas sekolah asalkan SPAD memberi pertimbangan ke arah melindungi kepentingan awam sebelum membuat keputusan berhubung cadangan menaikkan tambang bas. SPAD juga perlu berusaha mencapai formula agar tidak menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan pihak yang berkaitan.
SPAD perlu menimbangkan kepentingan orang awam juga, kerana mereka sudah tentulah tidak mahu sebarang kenaikan. Walaubagaimanapun, sebagai pengguna kita perlu faham bebanan tanggungan kos pihak pengusaha syarikat bas berikutan kenaikan bahan bakar perlu diambil kira sambil mengimbangkan dengan kemampuan penumpang untuk menikmati perkhidmatan yang selesa. Kita tahu dengan bebanan yang meningkat bagi setiap syarikat bas ekspres sekarang, disebabkan itu SPAD perlu buat kajian terperinci mengenai kadar tambang baharu bas mengikut kesesuaian semasa tanpa membebankan penumpang.